Tuesday 25 September 2018

Kemerdekaan Malaysia


Tahun 2007 merupakan tahun yang bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia kerana Malaysia akan menyambut perayaan Jubli Emas Kemerdekaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengetahui secara terperinci sejarah dan perjuangan kemerdekaan negara. Pemerintahan penjajah British di Tanah Melayu bermula selepas Perjanjian London pada tahun 1824. Hasil daripada perjanjian tersebut, British menyerahkan koloni atau tanah jajahannya di Indonesia kepada Belanda sementara Belanda menyerahkan tanah jajahannya iaitu negeri-nege­ri selat di Tanah Melayu kepada British. Di negerinegeri Melayu lain, pada mulanya British tidak mengamalkan dasar campur tangan di Tanah Melayu melalui Akta Pitt tahun 1857. Walau bagaimanapun, pergaduhan dan perang saudara yang berlaku di kawasan yang melibatkan kepentingan ekonomi British, mereka mengubah dasar kepada campur tangan dalam hal ehwal negeri Melayu.


Tambahan pula Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah memerlukan mereka mencari bahan mentah dan pasaran bagi hasil keluaran mereka. Menerusi Perjanjian Pangkor 1874, campur tangan British bermula di Tanah Melayu melalui Sistem Residen. British telah menem­patkan J.W.W. Birch sebagai Residen Perak yang pertama dan J.G. Davidson sebagai Residen Selangor pada tahun 1874. Martin Lister pula dilantik sebagai Residen di Negeri Sembilan pada tahun 1895, manakala J.P. Rodger ditempatkan sebagai Residen Pahang pada tahun 1888. Pada 1909 Perjanjian Bangkok telah dimeterai dan ia menyaksikan penyerahan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu oleh kerajaan Siam kepada British. Kerajaan British telah melantik seorang Penasihat British di setiap negeri tersebut. Pada tahun 1914, negeri Melayu terakhir, Johor turut menyertai gabungan ini. British menjajah Sarawak secara tidak langsung melalui James Brooke. Dia dilantik sebagai Gabenor Sarawak pada 24 November 1841 menggantikan Pangeran Indera Mahkota. Penguasaan British di Sabah bermula selepas perjanjian tahun 1877 antara Kompeni Overbeck dan Dent dengan Sultan Abdul Mumin dan Pangeran Temenggung.

Penguasaan British secara total berlaku apabila Overbeck menjual haknya dalam kompeni kepada Alfred Dent. Pengambilalihan Persatuan Sementara Borneo Utara British oleh Kompeni Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1881 menyebabkan Sabah ditadbir oleh William Cowie, Pengarah Urusan Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Penjajahan British di Tanah Melayu menyaksikan beberapa fasa penentangan. Ia bermula seawal pendudukan British di Pulau Pinang oleh Sultan Kedah pada tahun 1791 sehinggalah berlakunya beberapa penentangan oleh pembesar dan penghulu seperti Dol Said di Negeri Sembilan, Raja Mahadi di Selangor, Dato’ Bahaman, Tok Gajah serta Mat Kilau di Pahang, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, pemberontakan Sharif Masahor dan Rentap di Sarawak, penentangan Mat Salleh di Sabah. Penentangan Dato’ Maharaja Lela di Perak pada tahun 1875 merupakan asas menyemarakkan lagi perjuangan orang Melayu menentang British.
J.W.W. Birch yang bertindak mencampuri adat istiadat Melayu dan merampas hak memungut cukai mengakibatkan beliau dibunuh oleh Seputum pada 15 November 1875. Penentangan demi penentangan terhadap penjajahan British berlaku dan ia turut melibatkan pertubuhan atau kesatuan yang didominasi oleh aliran pemikiran dan medium tersendiri. Antaranya ialah penentangan yang berteraskan ideologi oleh Kaum Tua dan Kaum Muda, golongan yang memimpin gerakan massa seperti Syed Shekh al-Hadi, Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Perjuangan kebangsaan yang berteraskan nasionalis sederhana seperti Kesatuan Melayu Singapura, Persatuan Melayu Selangor, Persaudaraan Sahabat Pena Malaya dan Kongres Persatuan Melayu.
Menjelang tahun 1937, era perjuangan menentang British mula mencakupi bidang politik. Tunjang perjuangan ialah menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beberapa persatuan ditubuhkan antaranya ialah Kesatuan Melayu Malaya (KMM), Malayan Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Malayan Democratic Union dan United Malay’s National Organization (UMNO). Berakhirnya Perang Dunia II membawa kepada berakhirnya pemerintahan British. Jepun menyerang dan menakluk Tanah Melayu pada tahun 1941 dan menyerah kalah pada tahun 1945. Selepas pemerintahan Jepun, British membubarkan Negeri-negeri Selat pada tahun 1946. Pada tahun 1948 negeri-negeri di Tanah Melayu bersama-sama negeri Melaka dan Pulau Pinang bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan menjadi wilayah separa merdeka di bawah naungan British.

Singapura, Borneo Utara dan Sarawak menjadi tanah jajahan British yang berasingan. P e r i s y t i h a r a n Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 membawa beberapa perkembangan yang penting. Tidak lama selepas itu, kerajaan memperkenalkan pilihan raya tempatan. Pilihan raya pertama diadakan pada 1 Disember 1951 dengan tujuan memilih ahli Majlis Tempatan George Town. Namun, pilihan raya yang mendapat perhatian yang lebih ialah pilihan raya untuk Majlis Tempatan Kuala Lumpur yang diadakan pada bulan Februari 1952. UMNO yang bersekutu dengan MCA memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Kejayaan ini membawa kepada pembentukan Parti Perikatan.

Pada tahun 1953, Perikatan UMNO-MCA di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman menganjurkan satu konvensyen kebangsaan. Hasil persidangan tersebut, Perikatan mengemukakan beberapa usul iaitu Majlis Perundangan mengandungi sekurang-kurangnya tiga per lima anggota yang dipilih, hak mengundi bagi setiap rakyat yang dewasa, dua per tiga ahli eksekutif majlis dipilih daripada kalangan ahli Majlis Perundangan dan pilihan raya Persekutuan diadakan tidak lewat dari tahun 1954. Tuntutan Perikatan tidak mendapat perhatian daripada Pejabat Kolonial. UMNO-MCA kemudian menghantar satu delegasi yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke London. Tetapi dele­gasi ini gagal mempengaruhi British untuk menerima usul-usul mereka. Walau bagaimanapun, kerajaan British bersetuju memberi majoriti enam orang ahli yang dipilih berada di Dewan Perundangan Persekutuan.

Kekuatan Perikatan menjadi lebih mantap lagi dengan kemasukan MIC pada 5 Januari 1955. Dengan adanya kerjasama politik antara bangsa-bangsa di Tanah Melayu, maka Tunku Abdul Rahman telah menggerakkan Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam pilihan raya pada 27 Julai 1955 dan berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Menteri yang seterusnya memulakan rundingan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Perundingan dengan British telah berlangsung di Lancaster House, London selama 3 minggu bermula 18 Januari hingga 8 Februari 1956.

Akhirnya Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sepenuhnya daripada British pada 31 Ogos 1957 melalui upacara gilang-gemilang yang telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Untuk mengetahui secara lebih terperinci mengenai sejarah Malaysia dan perkembangannya, para pembaca bolehlah merujuk Ensiklopedia Dunia. Ensiklopedia ini mengan­dungi 386 entri Malaysiana berkaitan maklumat terkini serta penerangan yang lengkap dibantu dengan visual, rajah, foto dan luki­san bagi memudahkan artikel difahami dan dirujuk

No comments:

Post a Comment

Pemimpin Negara Malaysia Sejarah Tahun 6