Wednesday, 26 September 2018

Cabaran Memperkukuh Bahasa Melayu


Cabaran Pertama:
Semua lapisan masyarakat perlu memperlihatkan kesediaan dan bersikap lebih terbuka menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikuasai pengaruh bahasa asing khususnya, bahasa Inggeris. Oleh itu, mampukah penggiat-penggiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian, aplikasi dan lain-lain untuk pembangunan bahasa Melayu dengan lebih aktif dan berkesan pada masa depan? Malah perlu diterima sebagai cabaran bahawa bahasa Melayu perlu bersaing dengan berkesan dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris. Namun begitu, kejayaan negara Korea Selatan dan Jepun maju dalam bidang sains dan teknologi dengan tetap mempertahankan bahasa ibundanya banyak kali dijadikan contoh yang sesuai dengan sosio budaya kita. Bahasa Inggeris tetap dipelajari sebagai bahasa kedua dan antarabangsa hari ini, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan liberalisasi. Oleh itu, tiada halangan untuk kita menjejaki kejayaan kedua-dua negara tersebut.


Cabaran Kedua:
Masyarakat bahasa Melayu mesti mengguna, mengukuh dan memperluaskan bahasa Melayu di peringkat maya untuk tujuan kenegaraan dan membezakan jati diri masyarakat berbahasa Melayu dengan masyarakat-masyarakat bahasa yang lain. Ini adalah kerana kejayaan menonjolkan imej, kesediaan dan kemampuan bersaing akan memberi impak positif terhadap generasi muda yang mencari identiti sebagai model. Bahasa Melayu boleh mengisi kekosongan ini dan memberi inspirasi baharu ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Oleh itu, program pemerkasaan bahasa Melayu yang terancang dan direalisasikan dengan berkesan dapat melahirkan sebuah bangsa Malaysia moden. Moden dalam konteks ini mengarah kepada pembentukan satu tamadun bangsa yang berasaskan kepada keutuhan negara bangsa yang berteraskan bahasa, budaya dan pemikiran Malaysia. Justeru, berdampinglah dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam hal mewujudkan kerjasama yang lebih erat dalam membangunkan jati diri masyarakat Malaysia bertunjangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa yang dapat menjadi wasilah perpaduan Pendayaupayaan Bahasa, Agama dan Transformasi Masyarakat Bab 1: Memperkukuh Peranan Bahasa Melayu Dalam Dunia Teknologi rakyat yang berlainan latar keturunan dan bahasa yang berkesan untuk pentadbiran, undang-undang, pendidikan, perdagangan dan lain-lain cabang kehidupan.
Cabaran Ketiga:
Daripada perspektif sejarah, seharusnya ICT menjadi saluran penggunaan bahasa Melayu untuk meneruskan kesinambungan status sejarahnya sebagai bahasa lingua franca dalam cabaran ICT pada masa depan. Bahasa Melayu perlu cukup kukuh, mantap dan bersedia untuk membolehkannya terlibat dalam apa sahaja bidang
atau sub-bidang ilmu pengetahuan yang wujud dalam kehidupan dan seiringan dengan bahasa-bahasa moden lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Sepanyol, Perancis, Korea, Jepun dan lain-lain. Malah bahasa China/Mandarin sedang mara ke hadapan untuk menjadi sebahagian daripada bahasa-bahasa utama yang digunakan dalam dunia internet hari ini (Top 3 Internet Languages 2013). Kenyataan di bawah pula membuktikan perkembangan pesat media sosial di Malaysia yang akan membolehkan bahasa Melayu memainkan peranan dalam persada teknologi maya dengan aktif. Mengikut Simon Kemp dalam laporan Digital, Social & Mobile in 2015, Malaysia mempunyai 30.1 juta penduduk pada tahun 2015 dan 73% adalah penduduk bandar. Daripada jumlah itu, Malaysia mempunyai 20.1% pengguna internet iaitu 66% daripada keseluruhan penduduknya. Setiap pengguna media sosial meluangkan masa 3 jam 27 minit setiap hari secara purata. Media sosial paling popular di Malaysia ialah WhatsApp, 38% penduduk mempunyai aplikasi WhatsApp. Kedua, Facebook yang mana 32% adalah pemegang akaun manakala 29% menggunakan Facebook Messenger. Jelas sekali, penggunaan media sosial semakin berkembang pesat di Malaysia (Berita Harian 7 Mac 2015). Keadaan ini diperkukuhkan melalui “Top Ten Languages in the Internet 2013” yang membuktikan perkaitan kenyataan di atas tentang tahap penggunaan internet rakyat Malaysia.
Cabaran Keempat:
Evolusi terhadap bahasa Melayu turut berlaku dalam perkembangan era ICT. Penggunaan bahasa Melayu di internet semakin meluas di mana semakin ramai pengguna-pengguna mengeksploitasi kemudahan-kemudahan komunikasi tersebut. Ini dibuktikan dengan terdapatnya banyak laman berbahasa Melayu di internet yang dibentuk dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain. Perkembangan ini juga diiringi dengan penyediaan kemudahan e-mail dan chat yang secara tidak langsung membantu melestarikan bahasa Melayu. Penerimaan pakai internet ini telah membawa proses evolusi bahasa Melayu ke peringkat maya pada masa depan. Kesan daripada penggunaan ruang siber yang serba luas telah menghasilkan istilah-istilah baharu dalam ‘Bahasa Melayu Internet’. Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata ganti nama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga, dengan kata tanya telah diubahsuai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Situasi ini merupakan satu percubaan yang pramatik dan menarik dalam evolusi bahasa Melayu. Namun begitu, manupulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Oleh itu, amalan seperti ini hendaklah dipantau kerana akan menghasilkan ayat-ayat yang menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa.
Cabaran Kelima:
Kita seringkali mendengar penutur bahasa Melayu menggunakan standard bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa, sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Pencemaran bahasa adalah satu fenomena yang telah lama wujud akibat daripada penggunaan teknologi seperti Sistem Pesanan Ringkas (SMS) melalui penggunaan telefon bimbit dan chatting di laman maya seperti internet, WhatsApp, Facebook, Twitter, dan lain-lain. Kebanjiran dan ketaksuban golongan belia dan masyarakat pada penggunaan teknologi kini semakin meluas seiring dengan perkembangan teknologi global dan kita turut terkena tempiasnya apabila tidak dapat mengelakkan kesan buruk akibat lonjakan paradigma tersebut. Ini akhirnya, menyebabkan fenomena pencemaran bahasa dalam sistem pendidikan apabila ada pelajar yang turut menggunakan bahasa singkatan, simbol, istilah dan sebagainya yang tidak dibenarkan dalam pembelajaran mereka ketika menulis esei atau menjawab dalam peperiksaan.
Cabaran Keenam:
Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus di IPTA dan juga pengecualian pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib. Ia bermula apabila Akta Pendidikan 1996, tidak dihormati apabila asas itu diketepikan dengan keputusan pengajaran sains dan matematik serta subjek-subjek teknikal dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003. Sesudah enam tahun berlangsung, dasar yang bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mendatangkan musibah kepada majoriti generasi muda negara ini telah diputuskan untuk dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 dan digantikan dengan MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) dan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, peranan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan diberi penegasan semula (Awang Sariyan, 2013).
Cabaran Ketujuh:
Kenyataan pemimpin yang tidak prihatin atau tanpa usul periksa fakta-fakta sejarah telah merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu. Ini juga sedikit sebanyak telah menghakis keyakinan masyarakat kepada bahasa Melayu. Ini bertentangan dengan usaha DBP untuk menggalakkan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, pemimpin bertaraf menteri tersebut bertindak sebaliknya, apabila mengatakan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Beliau mengabaikan kerja keras pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit, lalu menyeru agar digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan dan tidak menghormati salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan, mengisytiharkan bahawa urusan di kementeriannya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris (The STAR 1 January 2004). Kenyataan yang bersifat paradoks ini merupakan salah satu cabaran yang sewajarnya ditangani dengan tegas oleh kepimpinan negara.
Cabaran Kelapan:
Penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam memerlukan ketegasan dan keselarasan termasuk tindakan undang-undang dalam sektor tertentu seperti majlis-majlis tempatan (bandaraya, perbandaran dan daerah), penyiaran (Kementerian Komunikasi dan Multimedia/Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) termasuk organisasi dan individu yang menggunakan bahasa Melayu di premis masing-masing. Sikap acuh tidak acuh menjadi penghalang kepada perkembangan bahasa Melayu kerana seolah-olah wujud persepsi bahawa bahasa Melayu hanya sesuai digunakan dalam urusan pentadbiran kerajaan. Malah penggunaan bahasa Melayu dalam sektor swasta belum menyerlah kerana masih ada pihak yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tiada nilai komersial dalam perniagaan.



No comments:

Post a Comment

Pemimpin Negara Malaysia Sejarah Tahun 6