Sunday, 17 February 2019

STRATEGI KBAT

Teknik Menyoal
Teknik menyoal adalah teknik paling lama dan paling popular dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam PdP dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindakbalas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam PdP bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal. Salah satu perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk mendapatkan sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama. Terdapat beberapa aspek dalam teknik penyoalan yang boleh diambil kira, antaranya ialah melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi, mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain, menegaskan kepentingan isi, mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri, mengesan pengetahuan berbahasa pelajar, mengalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis serta mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar. Walaubagaimanapun, penggunaaan teknik penyoalan adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan yang dikemukakn untuk menaganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. 

            Terdapat beberapa prinsip dan panduan penyoalan yang betul bagi membantu guru untuk mengasah pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar. Antaranya ialah soalah hendaklah dirancang, soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar, aras soalan tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar, beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan, kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas, elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja, kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid, bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid, soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas, soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir, elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya dan soalan hendaklah ringkas dan juga jelas.

Aktiviti Pemikiran Aras Tinggi Dalam Buku Teks
Buku teks yang disediakan sudah lama mengandungi aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi. Perhatikan semula kandungan dalam buku teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu. Maka gunakanlah sebaiknya aktiviti dalam buku teks tersebut bagi membentuk pelajar yang mahir dalam menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT

Pembelajaran Berasaskan Projek
Satu lagi perkara yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan memperbanyakkan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek atau project-based learning (PBL). Pembelajaran berasakan projek merupakan pelaksanaan program atau aktiviti dalam jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama, misalnya menyediakan soalan berkaitan projek dan mengimpelementasikan penyelidikan dengan mengumpulkan data, menganalisis data dan menghasilkan laporan sama ada secara lisan atau pun bertulis. Dengan ini pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan proses kemahiran berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Maka pelajar perlu dilibatkan dalam proses pengajaran yang aktif dan menyeronokkan seperti kaedah projek. Pelaksanaan STEM juga mampu menjadi pemangkin kepada pembelajaran berasaskan projek.

Menggunakan Alat Berfikir
Strategi terakhir dalam mengajar pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan menggunakan alat berfikir. Alat berfikir mampu membantu pelajar menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkesan. Pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Antara alat-alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan ketrampilan dalam berfikir, adalah soalan dan penyoalan, peta minda, pengurusan grafik, CoRT, i-Think dan 6 Thinking Hat. Alat pengurusan grafik juga dikenali sebagai peta pengetahuan, peta konsep, peta cerita dan alat pengurusan kognitif. Alat komunikasi yang menggunakan simbol untuk menggambarkan pengetahuan, konsep, pemikiran, idea-idea dan juga hubungan antara mereka. Tujuan utama pengurusan grafik adalah untuk menyediakan bantuan visual bagi membantu pelajar berfikir. Alat CoRT (Cognitive Research Trust) merupakan instrumen kognitif dalam bentuk garis panduan yang digunakan untuk meningkatakn kualiti pemikiran seseorang. Penggunaan alat ini dapat memandu pelajar untuk membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai faktor, menyelesaikan masalah, meluaskan pandangan terhadap sesuatu isu, meneliti kesan terhadap suatu tindakan, meneroka kepentingan apabila diberi pelbagai pilihan serta melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan.

No comments:

Post a Comment

Pemimpin Negara Malaysia Sejarah Tahun 6