Sunday, 17 February 2019

6 Aspirasi Murid


1. Pengetahuan
Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga perlu didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia, dan dunia dari aspek sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga digalakkan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain seperti seni, muzik, dan sukan.
2. Kemahiran Berfikir
Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif. Bidang ini kurang diberi perhatian, menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis di luar konteks akademik.

3. Kemahiran Memimpin
Dalam dunia yang saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan bukan formal, bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.
4. Kemahiran Dwibahasa
Setiap kanak-kanak menguasai sekurang-kurangnya bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komuniksai antarabangsa. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan semua murid untuk mempelajarai bahasa lain sebagai bahasa tambahan.
5. Etika dan Kerohanian
Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.
6. Identiti Nasional
Identiti nasional yang kukuh terikat dengan prinsip Rukunegara yang diperlukan untuk kejayaan masa depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional yang sebenar, semangat kukuh cintakan tanah air diperlukan. Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.

No comments:

Post a Comment

Pemimpin Negara Malaysia Sejarah Tahun 6